Pendudukan Israel ke atas tanah yang diberkati Allah SWT, Palestin bermula apabila Resolusi 181 mendapat sokongan penuh daripada Amerika Syarikat (AS) dan undian sebanyak 33 undi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947.
Sebanyak 13 negara menentang, manakala 10 lagi tidak hadir.
Resolusi ini telah membahagikan Mandat British terhadap Palestin kepada negara Arab dan Yahudi.
Bertahun lamanya kezaliman berlaku ke atas penduduk Palestin dan ribuan nyawa telah terkorban serta berlaku pertumpahan darah.
Hampir lebih 70 tahun tanah Palestin dijajah dengan rakusnya oleh rejim Zionis. Disebabkan itu, ada sejumlah keluarga di sana tidak lagi mempunyai waris bagi meneruskan legasi keluarga mereka.
Ekoran krisis Palestin-Israel yang tercetus baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM100 juta ke Gaza.
Mengapa Malaysia tidak menghantar bantuan ketenteraan kepada mereka?
Pertama sekali, Malaysia merupakan salah sebuah negara di bawah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Dengan ini, Malaysia perlu mengambil langkah berkecuali daripada campur tangan ketenteraan.
Melihat semula kepada sejarah, PBB telah menyerahkan 55 peratus tanah Palestin kepada pendatang haram Yahudi pada 1948.
Israel mula menganggotai PBB pada tahun 1949. Sementara, Resolusi 67/19 telah diluluskan oleh (PBB) pada 4 Disember 2012 yang berkaitan status Palestin sebagai sebuah negara.
Ini bermakna, PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, walaupun belum menjadi ahlinya.
Masyarakat di negara ini umumnya mengetahui akan kekejaman rejim Zionis. Hari ini kita dapat melihat bagaimana Israel mensasarkan kanak-kanak dan orang awam sebagai korban.
Ini adalah pembunuhan berskala besar yang dilakukan dalam sejarah kemanusiaan secara terang-terangan.
Mengapakah Palestin cukup istimewa? Palestin menempatkan Baitulmaqdis iaitu kawasan yang mempunyai kepentingan bagi tiga agama samawi.
Bagi Yahudi dan Kristian, Baitulmaqdis adalah tempat melakukan ibadah utama iaitu ‘pilgrim’. Dalam agama Islam, ia adalah kota ketiga paling suci. Bagaimanapun, gerakan anti-semitism di Eropah sebelum Perang Dunia Kedua telah menjejaskan orang Yahudi, di mana mereka terpaksa menjadi pelarian.
Selepas sekian lama menjadi pelarian, mereka memilih Palestin sebagai tempat paling sesuai memulakan hidup baharu.
Hakikatnya, pembentukan negara Israel pada 1948 adalah haram.
Maka, berlaku perang Arab-Israel melibatkan lima negara.
Lima negara arab ini terdiri daripada Syria, Iraq, Mesir, Jordan dan Lubnan.
Disebabkan itu, lahirnya Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1964.
Pada 1967, peperangan digelar perang enam hari telah menyebabkan Israel berjaya menawan Sinai, Semenanjung Gaza, Dataran Tinggi Golan, Tebing Barat dan Jerusalem.
Biarpun Fattah iaitu kumpulan politik yang mengawal PLO pada tahun 2006, namun Hamas yang merupakan pejuang Islam Sunni telah memenangi pilihan raya pada tahun sama.
Tahun seterusnya, Hamas telah berjaya mengalahkan Fattah dan menaungi Gaza. Akhirnya, Hamas dan Fattah membentuk kerajaan Palestin kebangsaan bersatu pada 2014.
Selepas tercetusnya konflik pada bulan lalu, PBB dilihat semakin tidak relevan dengan sikap mereka yang berat sebelah dan seolah-olah tiada tekanan mengenai isu itu.
Russia pula dituduh hipokrit oleh Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkenaan resolusi gencatan senjata yang juga tidak disokong oleh AS, Britain, Jepun dan Perancis.
Kegagalan gencatan senjata menjadi salah satu bukti keangkuhan Israel.
Campur tangan pasukan pengaman ke kawasan perang adalah secebis harapan yang memungkinkan untuk meredakan situasi semasa.
Masyarakat dunia ketika ini menuntut tindakan segera dan pendekatan pragmatik daripada PBB.
Malaysia juga sekeras-kerasnya mengutuk jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas Palestin.
Saban hari, angka kematian yang melibatkan nyawa anak-anak kecil di Gaza semakin meningkat ketika ini.
Malangnya, ada pihak yang menangguk di air keruh apabila menuduh nasib penduduk Gaza ketika ini berpunca daripada sifat penting diri pemerintah mereka.
Realitinya, adakah rakyat Palestin perlu berdiam diri apabila tanah mereka diambil, harta-benda mereka dirampas dengan rakus dan nyawa sentiasa berada di hujung tanduk?
Adakah mereka perlu menutup mata di saat ribuan anak kecil menggigil ketakutan memikirkan akan menjadi korban serta menggigil ketakutan melihat mayat di sekeliling mereka?
Adakah mereka perlu berdiam diri di saat hospital dipenuhi kanak-kanak dibom dan menutup mata serta mulut apabila rejim Zionis mensasarkan orang awam yang secara jelas melanggar etika peperangan?
Isu pokoknya, rejim Israel sedang melanggar dan melakukan perkara paling keji dan zalim terhadap sejarah ketamadunan manusia. Hakikatnya, penindasan yang berlaku ke atas rakyat Palestin ketika ini bukanlah baharu.
Ia tidak bermula pada 2008, 2012 mahupun pada 7 Oktober 2023 yang lalu.
Hari ini, kita melihat bagaimana Israel menyebarkan propaganda seolah-olah mereka adalah mangsa kepada perbuatan Hamas.
Malangnya, ia disokong oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti AS dan United Kingdom.
Sebenarnya, dunia perlu tahu bahawa rakyat Palestin dinafikan hak kemanusiaan mereka dan hak menjalani kehidupan seperti biasa.
Lebih 70 tahun hak mereka telah dinafikan, namun kuasa-kuasa besar dunia terus membungkam.
Justeru, kita perlu terus bersuara sebagai komuniti sejagat.
Usaha ini diharap dapat menekan PBB untuk segera melaksanakan solusi sementara iaitu gencatan senjata dan membebaskan Palestin daripada terus dijajah oleh rejim Zionis.